Saturday, October 31, 2009

PENYAKIT HATI BOLEH MEMADAMKAN CAHAYA NURANI

SESUNGGUHNYA Allah s.w.t. menciptakan hati manusia itu pada permulaannya adalah bersih yang mempunyai perasaan lagi suci murni dan mahukan kepada kebenaran. Tetapi alangkah malangnya bagi sesetengah manusia yang tidak tahu bersyukur atas anugerah Allah terhadap nikmat hati yang suci bersih.

Manusia selalu mengotori hati mereka dengan melakukan berbagai perbuatan maksiat zahir atau pun maksiat batin, akibatnya hati mereka menjadi pudar, malap, dzulumat dan seterusnya hati itu menjadi buta, tidak memahami akan kebenaran Islam dan tidak dapat memikirkan tentang apa yang diterangkan oleh Allah melalui firmannya yang terkandung dalam Al-Quran.

Justeru itu mari kita sama-sama perhatikan dan renungkan akan maksud ayat 46 dalam Surah Al-Hajj yang bermaksud : “Adakah mereka tidak mengembara di muka bumi ini supaya pemandangan melalui hati mereka dapat memikirkan dan memerhatikan tanda-tanda kebesaran Allah, atau melalui telinga mereka dapat mendengar dengannya perkara-perkara yang benar, tetapi sayang sekali , kalau mereka mengembara sekali pun, mereka tidak dapat memahami tanda-tanda kebesaran Allah dan kebenarannya. Maka ternyatalah bahawa bukanlah kerana mata mereka buta atau tertutup akan tetapi kerana butanya matahari dalam dada mereka.

Bagi mereka yang tidak pandai bersyukur diatas nikmat hati nurani yang dikurniakan Allah kepada mereka, mereka itu akan tergolong dalam tiga golongan manusia yang berpenyakit hati dan besar pula akibat yang akan mereka tanggung.

Pertama, penyakit hati yang dihidapi oleh umat Islam. Kedua, penyakit hati yang dihidapi oleh orang munafik dan ketiga, penyakit yang dihidapi oleh orang kafir. Ramai diantara kita tidak menyedari bahawa dalam tubuh atau jasad kita ini ada penyakit rohani yang sedang berkubu di hati.

Mungkin sesetengah daripada kita tidak menyedari bahawasanya hati mereka ada penyakit atau tidak tahu bahawa hati kita berpenyakit, tetapi kita tidak bersungguh-sungguh untuk mengubatinya atau mencari jalan bagi mengatasi segala penyakit yang menjadikan hati kita itu lalai dan alpa daripada tanggungjawab dan amanah yang Allah anugerahkan kepada kita.

Kita harus merasa bimbang, kerana segala amalan yang kita kerjakan siang dan malam, walaupun kita lakukan dengan cukup syarat dan rukun akan menjadi sia-sia dan mungkin tidak diberikan pahala sedikit pun oleh Allah S.W.T., kerana kita kerjakan amalan itu diiringi dengan hati yang berpenyakit, hati yang penuh dengan sifat-sifat mazmumah.

Penyakit hati yang dimaksudkan itu ialah sifat mazmumah yang berkisar dalam hati kita sendiri. Seperti sombong, ujub, riyak, bakhil dan sebagainya.

Sombong, dimana mereka merasakan dirinya lebih besar daripada orang lain dan amat sukar untuk menerima teguran orang lain.

Ujub, mereka merasakan diri mereka sangat pandai, berkebolehan daripada orang lain, tanpa memandang bahawa kepandaian dan kelebihan itu adalah kurniaan Allah jua.

Riyak, menunjuk-nunjuk kepada orang akan kebaikan diri dan apa jua yang dimilikinya.

Hasad dengki, merasa tidak senang hati apabila melihat orang lain memiliki kelebihan, sehingga mereka sanggup berusaha secara haram agar nikmat itu jatuh ketangannya atau nikmat yang dimiliki itu musnah.

Bakhil atau kedekut, tidak sanggup berkorban atau menyumbang sebahagian daripada hartanya untuk menolong orang lain sama ada melalui pengeluaran zakat atau cara menderma dan bersedekah.

Satu lagi penyakit hati yang lebih parah yang berkubu di hati orang munafikin iaitu segala sifat mazmumah yang disebutkan tadi yang menjadi teman rapat mereka dan mereka sudah merasa terhibur dan selesa dengan sifat sehingga hati mereka tertutup dan tidak mampu untuk membezakan yang mana betul yang mana salah, yang manakah kebanggaan yang dipuji dan yang manakah kemegahan yang dikeji, akhirnya mereka mereka berada dalam keadaan tidak menentu dan hidup mereka berpura-pura.

Dan seterusnya penyakit hati yang dihidapi oleh orang kafir, yang mana hati mereka sebati dan disaluti dengan segala sifat mazmumah dan kufur bahkan hati mereka akan termeteri. Mereka dengan sombong melakukan maksiat dan tidak mahu tunduk kepada kebenaran serta membelakangi ajaran Islam, walaupun mereka sedar bahawa ajaran Islam adalah satu-satunya ajaran yang lebih benar, tapi mereka enggan menerimanya. Allah S.W.T. berfirman: “ Allah telah memeterikan keatas hati-hati mereka, pendengaran mereka dan penglihatan mereka. Dan kelak Allah menyediakan bagi mereka azab seksa yang amat pedih.” (Al=Baqarah:7)

Justeru itu ingatlah wahai sahabat-sahabat tersayang, bahawa penyakit hati boleh memadamkan cahaya nurani dalam hati seseorang dan ianya boleh menyuburkan sifat kufur dan nifak dalam hati kita. Maka menjadi kewajiban bagi setiap muslim agar sentiasa menjaga hati dan mengubatinya dari semasa kesemasa.

Berkaitan dengan hati ini dan jenis penyakitnya eloklah kita perhatikan jawapan Syaqiq bin Ibrahim apabila ditanya:

Bagaimana saya dapat mengetahui bahawa saya seorang salih, sebab orang mengatakan bahawa saya seorang salih?

Jawab Syaqiq: Tunjukkan rahsiamu pada orang-orang salihin, maka bila mereka rela pada itu bererti kau orang salih.

Kedua: Tawarkan dunia ini pada hatimu, maka bila ia menolak tanda bahawa kau orang salih.

Ketiga: Tawarkan maut kepada dirimu, maka jika ia berani dan mengharap tanda (rela menerima maut) bahawa kau orang salih, bila tidak begitu maka kau bukan orang salih.

Dan bila ada ketiganya padamu, maka mintalah selalu kepada Allah jangan sampai memasukkan riyak dalam semua amalanmu supaya tidak rosak amalmu. (Rujuk kitab ‘Tanbihul Ghafilin’)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...